Mahu jadi rakyat Malaysia


SELASA, 10 APRIL 2012



KUALA LUMPUR - Aaron Aziz khabarnya akan terlibat dengan sebuah filem aksi belum berjudul bakal diarahkan oleh seorang pengarah dari Brunei, selain juga dijadualkan membintangi filem Cicakman 3.

Populariti sudah berada kemas dalam genggaman diri pemilik nama sebenar Aaron Mustapha Aziz. Namun sosok kacak berusia 36 tahun itu mengakui ada lagi satu impiannya yang belum tercapai, malah dia melabelkan impiannya yang satu itu sebagai suatu deklarasi andai ia sukses dicapai.

"Meraih status penduduk tetap di Malaysia merupakan deklarasi yang paling berharga buat saya berbanding sebarang pengiktirafan," akui Aaron kepada wartawan ketika ditemui pada majlis Anugerah Bintang Popular 2011 di Genting Highlands, Pahang, Ahad lalu.

Sebenarnya, Aaron dan keluarga yang terdiri daripada isterinya, Diyana Halik, 31, serta tiga orang anak mereka, Danish Anaqi, 8, Dwi Ariana, 6, dan Dahlia Arissa, 2, sebenarnya kini masih menunggu keputusan status permohonan untuk menjadi warganegara di Malaysia.

Dalam kenyataan medianya sebelum ini, aktor itu menegaskan dia sudah memohon taraf Penduduk Tetap (PR) dengan kerajaan Malaysia sejak awal Ogos tahun lalu (2011).

"Saya sudah bosan sebab isu kewarganegaraan sering dipersoalkan terhadap saya. Saya buat semua ini pun kerana tidak mahu menoleh ke belakang lagi.

"Mengapa saya harus berpatah balik kepada kehidupan yang lama sedangkan saya sudah mempunyai kehidupan yang sempurna di Malaysia. Untuk masa depan yang lebih cerah, adalah lebih baik saya mendapatkan status penduduk tetap Malaysia," jelas Aaron yang juga mengakui telah menjual kereta dan rumahnya di Singapura.

Posting Komentar